Assalamualaikum WRT dan salam sejahtera.
Alhamdulillah syukur kehadrat Illahi kerana kita masih lagi diberi peluang untuk hidup sehingga ke saat ini dengan diberi nikmat iman dan islam yang sangat besar agar kita menjadi hamba yang bersyukur dengan apa yang kita ada. Tanda-tanda kita bersyukur ialah dengan melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang ditegahNya.
Selawat dan salam buat Nabi junjungan besar kita iaitu Muhammad saw. Tidak dilupa kepada para sahabat baginda , para tabi'in, para pejuang kebenaran, dan ibu bapa kita. Semoga semuanya dirahmati Allah hendaknya.
Soalan pertama saya, bagaimana keadaan anda yakni murid- murid yang bakal menduduki SPM tidak lama lagi. Adakah anda sudah bersedia? Jika ya, berapa peratus tahap kesediaan itu? Adakah sudah mencapai 90%?. Atau masih belum bersedia. Jawapan ada pada diri masing- masing. Kata orang, 'tepuk dada tanya selera'.
Pada masa yang semakin hampir dengan SPM ini, cikgu suka untuk memberikan sedikt tips khusus untuk anda murid- murid yang akan menduduki SPM. Pertama, perbanyakkanlah zikrullah. Maksudnya, solat fardu diawal waktu, sebaiknya bagi lelaki solatlah di masjid atau surau yang berhampiran (jika di rumah), bangun untuk solat tahajjud setiap hari, baca alQur'an setiap kali selepas solat fardu sekurang- kurangnya 1 ayat (paling lekehlah ni). Kedua, mohon kemaafan daripada ibu, ayah, adik- beradik, saudara mara, jiran- tetangga dan kawan- kawan serta meminta agar mereka mendoakan kejayaan untuk anda. Ketiga, mohon kemaafan daripada semua guru, khusunya guru yang pernah mengajar anda. Anda juga boleh menggunakan medium facebook, twitter atau apa jua cara untuk menzahirkan kemaafan kepada sesiapa sahaja, serta minta didoakan kebaikan untuk anda. InsyaAllah, dalam ramai- ramai itu, ada doanya yang dimakbulkan.
Keempat, jauhi sebarang maksiat. Peliharalah seluruh anggota badan daripada melakukan kemungkaran. Sekiranya terbuat juga, cepat- cepatlah bertaubat. Jika berdosa dengan manusia, perlulah mohon kemaafan dahulu daripada mereka. Kelima, sebelum studi, niatlah agar ilmu yang diperolehi nanti diberkati dan dijauhkan daripada sifat lupa. Ada doa yag diajarkan. Amalkan dan istiqamah sepanjang masa. Dan keenam, belajarlah daripada kesilapan. Ertinya, lihat semula kertas- kertas latihan, ujian dan peperiksaan dalaman sebelumnya agar tidak melakukan kesilapan yang sama lagi.
Harapan saya, semoga semua murid akan memperoleh keputusan yang cemerlang dan berjaya dengan diiringi doa dan keyakinan anda mampu melakukan yng terbaik. Selebihnya, kita serahkanlah kepada Allah swt.
Sekian.